Powered By Blogger

09 December 2012

Konsep 1Malaysia dimanipulasikan Pembangkang PR mengenai Isu RASIS untuk meraih undi


Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bukti bahawa kepimpinan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO tidak pernah mengenepikan mana-mana kaum sejak negara mendapat kemerdekaan.
Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bakri, Datuk Mazlan Sabri berkata pembabitan kaum lain telah terjalin sejak negara ingin mencapai kemerdekaan dan berterusan sehinggalah sekarang, ia terbukti dalam kepimpinan Barisan Nasional di peringkat Kabinet yang turut disertai oleh pelbagai kaum yang turut membabitkan pemimpin dari Sabah dan Sarawak.
“1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri memperjelaskan lagi keharmonian hidup kepelbagaian kaum di negara ini, semua rakyat menikmati apa sahaja yang diperjuangkan oleh Barisan Nasional berbeza dengan pembangkang yang dilihat lebih menjurus kepada sesuatu pihak sahaja.
“Isu rasis yang dibangkitkan oleh pembangkang itu adalah untuk menutup kelemahan mereka terutamanya kepada DAP yang dilihat lebih menjurus kepada kaum bukan Melayu berbanding dengan UMNO dan Barisan Nasional yang tidak pernah meminggir mana kaum atau agama,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang yang menuduh UMNO sebagai rasis.
Mazlan berkata, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO di majlis perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2012 bahawa politik rasis adalah kepada mereka yang hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain dan parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ianya zalim kepada kaum lain.
“Perkongsian kuasa yang dilaksanakan oleh UMNO sejak dahulu telah diterima pakai oleh semua kaum di negara ini, sebab itu ada kaum lain yang boleh menjadi pemimpin negeri seperti di Pulau Pinang ketika Barisan Nasional berkuasa dahulu apabila Ketua Menterinya dari kaum Cina.
“Bukan sekadar politik, kaum lain juga berpeluang untuk menikmati perkongsian dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebajikan dan banyak perkara lain lagi. Pembangkang menyedari perkara ini tetapi sengaja menutup mata demi kepentingan politik sempit mereka,” katanya.
Menurutnya, pembangkang tidak seharusnya mempergunakan isu rasis ini untuk mendapatkan sokongan atau undi daripada rakyat kerana ia boleh mengundang suatu suasana tidak sihat sedangkan kerajaan Barisan Nasional tidak pernah menganak tiri mana-mana kaum walau di mana mereka berada.
“Pelbagai bantuan dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan turut dinikmati oleh semua kaum, ketika penbentangan Bajet 2013, Perdana Menteri mengumumkan semua kaum dan lapisan masyarakat layak untuk menerima apa sahaja bantuan dan kemudahan yang disediakan tanpa mengira parti yang mereka sokong.
“Sebenarnya apa yang cuba dilakukan pembangkang itu lebih kepada kepentingan politik tanpa menyedari apa yang cuba dilakukan itu boleh memberi kesan kepada keharmonian hidup kepalbagaian kaum yang sudah tersemai dan terjalin sejak sebelum merdeka yang diasaskan oleh UMNO,” katanya.