Powered By Blogger

20 July 2012


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Alhamdulillah puji syukur ke hadrat Allah SWT. kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita meraikan bulan Ramadhan al-Mubarak pada tahun ini dalam keadaan penuh keberkatan dan kerahmatan.
Bulan Ramadhan adalah merupakan bulan kemuliaan dan penuh keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam untuk di ambil peluang bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dengan pelbagai ganjaran pahala yang berlipat-kali ganda.
Ibadat puasa yang dilakukan dengan penuh kesempurnaan, sudah pasti mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan seterusnya membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT.
Sesungguhnya bulan Ramadhan ini adalah bulan perjuangan menentang hawa nafsu. Harus diingatkan di bulan yang mulia ini kita perlu menginsafi diri dengan membantu para fakir miskin, anak-anak yatim dan orang yang kurang bernasib baik daripada kita. Perbuatan membazir haruslah dielakkan. Sikap suka bersedekah mestilah dipupuk. Zakat fitrah pula janganlah dilupakan.
Menyedari akan kemuliaan bulan ini, saya menyeru agar semua umat Islam di Malaysia menguatkan lagi perpaduan ummah kerana harus diingat perpaduan dan penyatuan umat merupakan asas kekuatan umat Islam pada masa hadapan. Inspirasi perpaduan daripada peristiwa Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan harus di jadikan pedoman oleh umat Islam seluruhnya.
Perpecahan umat Islam akibat perbezaan dan ideologi politik merupakan salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan Islam di dalam negara ini. Yakinilah bahawa kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang apabila terciptanya perpaduan di antara yang memimpin dengan yang dipimpin.
Ingatlah sesungguhnya musuh-musuh Islam sentiasa berusaha untuk memecah-belahkan umat Islam, mereka sedar kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang terbina erat.
Justeru, bersama-samalah kita mengenepikan perbezaan pendapat dan ideologi politik demi perpaduan ummah yang akan membawa seluruh umat Islam di Malaysia ini ke suatu dimensi baru yang lebih baik pada masa yang mendatang.
Akhir kalam janganlah kita lupa untuk mencari kerahmatan di malam Lailatulqadar yang mempunyai ganjaran kebaikan bersamaan seribu bulan. dan rahmat keampunan daripada Allah SWT. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa. Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.