Powered By Blogger

24 April 2013

Siswa Bersedia Membantu Dalam Misi ..... ???


KENYATAAN MEDIA

Azri Norfikri Aziz
PENGERUSI SISWA4U ZON UTARA
Merangkap Yang Timbalan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Utara Malaysia


24 APRIL 2013


Atas kesedaran dan peluang yang diberikan dalam peruntukkan undang-undang yang dipinda dalam Perkara 15 (2) (c) Akta Universiti Kolej Universiti (Pindaan) 2012 atau lebih dikenali dengan AUKU, kami mahasiswa Universiti Utara Malaysia dan kumpulan mahasiswa Kedah telah bertekad untuk bergerak bersama Siswa4U.


Penyertaaan dan sokongan terhadap Siswa4U dibuat kerana kami percaya pada ‘AkuJanji’ Barisan Nasional dalam memelihara kebajikan rakyat. Selain itu, kami golongan mahasiswa inginkan suasana politik yang matang, harmoni, berintergriti dan mendukung prinsip undang-undang. Kami, Siswa4U peka dengan perkembangan isu-isu semasa dan kami sedar akan tanggungjawab mahasiswa untuk mencorak masa depan Negara. Justeru, dengan kebebasan yang diberikan oleh AUKU, kami bergiat secara aktif dalam arena politik di luar kampus.

Kami bukan sekadar ‘turun padang’ untuk berjumpa dengan rakyat Kedah, untuk berkongsi pandangan, memberi khidmat masyarakat dan mengedar flyers, malah kami turut memberi ceramah di atas pentas politik Barisan Nasional. Setinggi-tinggi terima kasih kami ucapkan kepada kepimpinan Barisan Nasional di peringkat Nasional, Negeri Kedah dan Bahagian kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada kami untuk turut serta secara proaktif dan membina. Inilah yang dimaksudkan oleh Transformasi yang didokong oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak yang amat kami kasihi. Kami berharap agar sekalian mahasiswa dapat bersama-sama memberikan sokongan yang padu kepada pasukan YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dan kami juga mengalu-alukan penyertaan lebih ramai rakan-rakan mahasiswa dalam gerakan Siswa4U.

Sesungguhnya terdapat dua isu utama yang melanda negeri Kedah yang menyebabkan kami terpanggil untuk menyumbang akal fikiran, tenaga dan masa untuk memenangkan Barisan Nasional. Isu yang pertama amat dekat dengan kami, iaitu isu pendidikan yang melibatkan mahasiswa di Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN) dan isu yang kedua adalah isu pembalakan di kawasan hutan utama Kedah. Kami mendapati bahawa kegagalan kerajaan Pas untuk menguruskan KUIN dan balak dengan baik mencerminkan kepincangan dalam pentadbiran negeri secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, adalah lebih bijak untuk rakyat memberikan mandat kepada calon-calon pilihan YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak di negeri Kedah dan di seluruh negara berdasarkan pencapaian atau track record pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang lebih cemerlang.

Kami yakin, masalah yang berlaku di KUIN akan diselesaikan dengan pantas sekiranya kerajaan Barisan Nasional mentadbir Kedah. Kami amat marah apabila mengetahui bahawa mahasiswa KUIN telah dipindahkan ke Kuala Ketil walaupun lokasi tersebut tidak mempunyai kelengkapan keperluan yang mencukupi. Bagaimanakah pengurusan KUIN yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Kedah boleh membiarkan Kampus Kuala Ketil beroperasi tanpa asrama dan masjid untuk mahasiswa? Malah, mahasiswa perlu berpindah-randah ke dari satu asrama tumpangan ke asrama tumpangan lain hanya untuk tidur !
Ini tidak termasuk kes di mana 7 orang mahasiswa KUIN yang menamatkan pelajaran mereka dengan ijazah Al-Quran, tidak mendapat pengiktirafan akreditasi oleh Malaysians Qualifications Agency atau dikenali sebagai MQA. Bagaimana nasib mereka sekarang? Adakah masa yang telah mereka habiskan untuk belajar di KUIN hanya sia-sia? Apakah mereka mendapat pembelaan daripada Kerajaan Negeri Kedah? Itu nasib 7 orang rakan sebaya kami yang terbukti tidak terbela, jadi bagaimana pula dengan mahasiswa yang sedang mengikuti kursus yang sama sekarang ni?

Kami bertegas bahawa kebajikan mahasiswa harus diberi perhatian dengan serius. Mahasiswa tidak wajar menjadi mangsa kezaliman politik dan ketidakupayaan kumpulan pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan negeri untuk mentadbir dengan baik.

Berkaitan denga isu pembalakan oleh Kerajaan Negeri Kedah dibawah program ‘Ladang Rakyat, Ladang Sejahtera’, kami mahasiswa sangat prihatin terhadap permasalahan yang telah berlaku dan  kami berpandangan bahawa ia amat merugikan rakyat negeri Kedah.

Di Gunung Inas, lebih 2000 hektar tanah yang sarat dengan pokok-pokok balak diteroka sejak 5 tahun lepas. Sepanjang 5 tahun ini, kerajaan negeri telah berjanji untuk mengusahakan Ladang Sejahtera, namun begitu hasilnya sungguh mengecewakan. Setelah kerajaan negeri mengaut hasil keuntungan yang melimpah-ruah daripada projek pembalakan, sehingga hari ini, masih tiada sebarang usaha untuk menanam semula pokok balak getah di bawah projek yang dinamakan Ladang Sejahtera. Yang ada, hanyalah pemusnahan alam sekitar, pencemaran sumber air sungai dan pemusnahan sektor pelancongan. Rakyat Kedah hanya menjadi mangsa hasil kerakusan Kerajaan Pas untuk mengaut keuntungan tetapi hasilnya tidak sedikit pun digunakan untuk menjaga kebajikan rakan-rakan kami di KUIN.


Keadaan sama berlaku di Pedu di mana lebih 500 hektar tanah balak diterokai. Lokasi pembalakan yang berhampiran dengan tempat simpanan air iaitu Empangan Pedu amat merisaukan kami. Di sini, Kerajaan Pas menabur janji untuk membuat kebun buah-buahan di tapak yang telah digondolkan oleh kontraktor balak. Malangnya, janji yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kedah tidak boleh dipercayai, sama seperti Manifesto Bukan Janji Pakatan Rakyat. Janji di masa lepas belum pun ditunaikan, mereka berani berjanji lagi!

Anak muda tidak nampak sebarang perubahan yang signifikan sejak pentadbiran kerajaan negeri Kedah dipegang oleh Pakatan Rakyat. Lebih teruk lagi, kerajaan negeri ini tiada wawasan untuk membangunakan negeri Kedah. Sebaliknya, rakyat disajikan dengan pelbagai perbalahan dalaman yang mengekang kerjasama untuk memajukan negeri Kedah. Pakatan Rakyat Kedah yang tidak berani untuk mengeluarkan manifesto membuktikan bahawa mereka tidak mampu untuk menjanjikan apa-apa untuk rakyat Kedah, apa lagi generasi muda Kedah.  

Jelas, Barisan Nasional bukan sahaja berani mengemukakan manifesto untuk negeri Kedah, malah rakyat yakin bahawa ia pasti ditunaikan. Manifesto atau AkuJanji Barisan Nasional negeri Kedah yang berteraskan Hal Ehwal Agama, Transformasi Ekonomi dan Transformasi Sosial merupakan pilihan terbaik untuk rakyat negeri Kedah. Manisfesto Barisan Nasional realistik memandangkan ia melibatkan pelaksanaan dalam aspek membangunkan negeri Kedah. Pelbagai pelan tindakan seperti membangunkan pusat industri minyak dan gas di Yan dan Bandar Getah bertaraf antarabangsa di Padang Terap mampu menawarkan 13 ribu peluang pekerjaan. Selain itu, kami mahasiswa Siswa4U juga menyokong usaha memperkasakan pengajian pondok dan tahfiz selari dengan iltizam untuk membangunkan masyarakat yang berilmu.

Tambahan pula, kami mewakili seluruh mahasiswa ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberikan Baucer Buku 1Malaysia serta rebat telefon pintar. Kami juga terharu apabila kehendak mahasiswa dipertimbangkan dalam penyediaan AkuJanji Barisan Nasional.yang membuktikan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional dalam memelihara kebajikan mahasiswa.
Kepada rakyat Malaysia, pilihlah kerajaan yang terbukti menjaga kebajikan dan menjamin kemakmuran negara. A #BetterNation untuk hari ni dan masa hadapan.